Khamis, 12 Januari 2012

bilangan Qiraat

Qiraat Tujuh (sab’ah) mahupun Qiraat Sepuluh (‘asyarah), ianya tetap tidak lari daripada 7 ahruf sebagaimana ia diturunkan. Kesemuanya mutawatir daripada Rasulullah SAW. Ini bermakna, Rasulullah SAW membaca dengan kesemua qiraat ini.

Qiraat 7 dikupas dan dijelaskan oleh Imam al-Syatibi. Imam al-Jazari pula mengupas dan menyusunnya sehingga 10 Qiraat. Tetapi, ini tidaklah bermakna Imam al-Jazari telah melakukan penambahan kepada ilmu ini sehingga menjadi 10. Tetapi berkemungkinan, Imam as-Syatibi pada zamannya hanya sempat mengumpul dan menyusunnya sehingga 7 sahaja.

Setelah itu, pengumpulan dan pengkajian diteruskan oleh Imam al-Jazari sehingga lengkap menjadi 10 Qiraat.Kesemua 10 Qiraat Imam al-Jazari dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Kubro. Tetapi jika 7 Qiraat Imam al-Syatibi digabungkan dengan 3 lagi Qiraat Imam al-Jazari maka ia dikenali dengan al-Qiraat al-‘Asyarah al-Soughro.

Hubungan Antara Al-Quran dan Al-Qiraat

Dalam hal ini, terdapat pandangan ulama yang menyatakan bahawa al-quran dan qiraat itu adalah berlainan antara satu sama lain. Sebagaimana penegasan Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-itqan Fi Ulum al-Quran menukilkan pendapat Imam al-Zarkasyi daripada kitabnya al-Burhan :

“Al-Quran sebagaimana yang telah disebut adalah wahyu daripada Allah S.W.t yang diturunkan kepada nabi Muhammad S.A.W sebagai penerangan dan mukjizat.”

“Manakala Qiraat ialah perbezaan lafaz-lafaz wahyu yang disebut di dalam huruf-huruf dan cara membacanya seperti takhfif, tasydid da selain keduanya-keduanya. Ia dimestikan dengan talaqqi dan musyafahah kerana qiraat tidahk boleh dihukumkan melainkan dengan pendengaran dan musyafahah.”

Dr Muhammad Salim Muhaisin memberi reaksi yang berbeza dan berpendapat Al-Quran dan al-Qiraat adalah dua hakikat dengan satu makna. Berdasarkan Al-Quran adalah masdar yang seerti dengan Al-Qiraah. Al-Qiraat pula jamak kepada Al-Qiraah. Maka bagi beliau kedua-duanya adalah mempunyai satu makna.

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada catatan perbahasan para ulama di mana yang dimaksudkan dengan perselisihan bacaan adalah bukannya melibatkan qiraat secara keseluruhannya tetapi pada noktak-noktah yang tertentu sahaja. Qiraat yang sahih ( mutawatir ) adalah diterima sebagai al-quran dan ini menolak qiraat yang bercanggah dengan qiraat yang sahih seperti qiraat syaz di mana ia tidak dikira al-quran dan haram pula hukum bacaanya.