Jumaat, 30 Disember 2011

Pengertian Qiraat


Pendahuluan

Ilmu pengajian qiraat adalah satu-satunya ilmu yang terpenting bagi mereka yang mempelajari dan membahas kandungan al-Qur’an dan menghafalnya. Al-Qiraat diberi keutamaan kerana ianya secara langsung membahaskan perkara-perkara yang ada kaitan dengan kalamullah. Dengan itu ilmu tersebut kita akan dapat merasai mu’jizat al-Qur’an dari segi huruf dan lafaz yang baik dengan memahami didalam bahasa Arab yang indah. Sehingga tidak boleh ditandingi oleh sasterawan-sasterawan Arab ketika itu dan di masa kini.

Ilmu qiraat merupakan asas-asas yang terlalu penting bagi ulama’ terdahulu di dalam kajian dan penyelidikan mereka untuk memahami al-Quran. Pada masa kini ilmu al-Qur’an dan qiraat sudah mula diminati oleh masyarakat Islam, yang pada mulanya kurang diminati kerana mereka menyangka ianya tidak memberi hasil yang lumayan dan jarang diketengahkan. Mengikut sejarah perkembangan ilmu al-Qur’an dan kemasukan ilmu qiraat ke Malaysia telah berlaku pada awal 70-an. Kemasukan ilmu ini telah dibawa oleh pelajar-pelajar yang pulang dari Mekah al-Mukarramah. Tidak dinafikan bahawa sebelum itu telah wujud ilmu qiraat di Malaysia, tetapi hanya sebilangan kecil sahaja bukan secara meluas. Sehingga sesiapa yang membaca qiraat ketika itu dianggap salah kerana orang ramai tidak ada pendedahan dan motivasi mengenai ilmu qiraat.

Pembangunan dan perkembangan ilmu al-Qur’an dan qiraat pada masa kini telah mendorong pihak kerajaan untuk membuka dan membina pusat-pusat pengajian al-Qur’an dan Maahad Tahfiz al-Qur’an di seluruh Malaysia. Selain itu, kewujudan pusat-pusat pengajian swasta yang tumbuh bagaikan cendawan serta turut menyokong perkembangan ilmu al-Qur’an. Selepas terdirinya Pusat Pengajian al-Qur’an di Pusat Islam Kuala Lumpur, ilmu qiraat mula berkembang di Malaysia. Dengan perkembangan tersebut, telah memberi peluang kepada orang ramai menampilkan diri untuk mengenali dan mempelajari ilmu qiraat ini.

Qiraat Dari Sudut Bahasa

Takrif qiraat dari segi bahasa merangkumi dua pendapat. Pendapat yang pertama ialah qiraat didatangkan dengan maksud bacaan iaitu himpunan huruf dan kalimah-kalimah yang sempurna. Qiraat pada asalnya dari kata terbitan iaitu qaraa (قرأ), qiraah (قراءة) dan qur’anan (قرآنا) atas wazan fu’lan (فعلان) seperti ‘ghufran’, ‘syukran’ dan lain-lain lagi. Perkataan Qiraat itu berbentuk masdar dengan isim maf’ul iaitu maqru’ (dibaca). 

Pendapat yang kedua, qiraat jama’ atau himpunan dari perkataan qiraah (قراءة) ; dari perkataan asal qaraa (قرأ), bagi pendapat salaf pula menjelaskan lafaz qiraah dalam nas al-Quran yang sempurna untuk memberi keterangan tentang kehilangan al-Qura’ (القرّاء). Qiraah dalam bahasa ialah jama’ atau himpunan, setiap sesuatu himpunannya adalah qiraah ; dinamakan al-Qur’an kerana himpunan yang merangkumi ayat-ayat yang berbentuk cerita, perintah, larangan, perjanjian dan sebagainya dalam sebahagian surah-surah di dalam al-Qur’an. 

Menurut Dr. Syi’yan Muhammad Ismail dalam kitabnya Al-Qiraat Ahkamuha wa Masdaruha pula, qiraat adalah jama’ kepada kalimah qaraa (قرأ), iaitu pada asal adalah masdar qa raa (قرأ). pendapat yang lain, qaraa fulan (قرأ) ( baca si fulan), yaqra’u (يقرأ) iaitu dia baca dan qiraah (قراءة) iaitu bacaan. Daripada pengertian-pengertian yang telah disebutkan tadi, dapatlah disimpulkan bahawa qiraat dari segi bahasa membawa maksud ‘bacaan-bacaan’ yang berasal dari kata terbitan qaraa (قرأ), qiraah (قراءة) dan qur’anan (قرآنا).


 Qiraat Dari Sudut Istilah

Takrif qiraat dari segi istilah mempunyai beberapa maksud antaranya ialah menurut Abdul Fattah Al-Qodi dalam penulisannya, Al-Budur Az-Zaahirah. Qiraat ialah ilmu yang membincangkan tentang kalimah-kalimah al-Qur’an dan keadaan kalimah tersebut seperti panjang, pendek dan sebagainya. Bagi pendapat Ustaz Hj. Mohd Nazri Abdullah, qiraat ialah salah satu ilmu dari cabang-cabang ilmu yang ada hubungan dengan al-Qur’an yang sewajarnya diberi perhatian yang serius. Semenjak penurunan wahyu yang merupakan satu-satunya sumber pengambilan qiraat hingga kini yang sentiasa dijaga, dipelajari, disuburkan dan diperkembangkan oleh ulama’ yang silih berganti.

Manakala daripada sumber lain pula, ilmu qiraat merupakan semulia-mulia ilmu kerana mempunyai kaitan yang rapat dengan al-Qur’an dan hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah. Proses pengajian dan pembelajaran ilmu qiraat ini mestilah diambil daripada guru yang sanadnya sampai kepada Rasulullah S.A.W. kerana al-Qur’an dan qiraat merupakan sunnah muttaba’. Menurut Syi’yan Muhammad Ismail dalam Al-Qiraat Ahkamuha wa Masdaruha, qiraat ialah suatu ilmu yang membincangkan tentang kalimah-kalimah al-Qur’an yang khilaf dan keadaan kalimah-kalimah tersebut.

Kesimpulanya Ilmu Qiraat ialah ilmu yang membahaskan bagaimana cara untuk menyebut kalimah-kalimah Al-Quran yang merangkumi hukum izhar, idgham, mad, qasr, tarqiq dan sebagainya. Begitu juga dengan makhraj huruf serta mengenal wajah bacaan Qurra' yang diteruskan kepada perawi.

0 ulasan:

Catat Ulasan